UNDANG-UNDANG BAGI KELAB SOSIAL CLIQUEME@CARI SEMALAYSIA Fasal 1 NAMA 1.1 Kelab ini dikenali sebagai 'Kelab Sosial CliqueMe@Cari SeMalaysia', kemudian ini dipanggil 'Kelab ini'. Fasal 2 TEMPAT URUSAN BERDAFTAR 2.1 Alamat tempat berdaftar urusan Kelab ini ialah E-8-4, Blok Suria, Tasik Heights Apartment, Bandar Tasik Selatan, 57000 Kuala Lumpur. 2.2 Tempat urusan berdaftar Kelab ini tidak boleh diubah dengan tidak mendapat kebenaran pihak Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu. Fasal 3 LOGO KELAB 3.1 Logo Kelab ini mengandungi nama Kelab ini dalam huruf berwarna Biru. Warna "@" dan satu anak panah kecil di atas huruf "i" di perkataan "Clique" adalah Merah. Kesemua perkara di atas berada di dalam sebuah segiempat bujur yang bergaris luar berwarna Merah. Di atas garis luar merah dibahagian atas tulisan "CliqueMe@Cari" terdapat perkataan "Kelab Sosial". Manakala dibahagian bawah tulisan "CliqueMe@Cari" juga di atas garisan merah, terdapat perkataan "SeMalaysia". Kedua-dua perkataan ini adalah berwarna Biru. Fasal 4 COGANKATA KELAB 4.1 Cogankata Kelab ini ialah "Erat ceria selamanya" Fasal 5 PENAUNG 5.1 Penaung Kelab ini dipilih secara pengundian oleh ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa. Sebarang perubahan, penambahan atau pemecatan hanya boleh dilakukan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa oleh ahli. Fasal 6 PENASIHAT 6.1 Penasihat atau Penasihat-penasihat Kelab ini dipilih secara pengundian oleh Jawatankuasa Kelab di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kelab. Sebarang perubahan, penambahan atau pemecatan hanya boleh dilakukan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kelab. Fasal 7 TUJUAN 7.1 Tujuan Kelab ini adalah untuk memupuk perasaan persaudaraan, muhibah, persefahaman dan persahabatan sesama ahli; 7.2 Memajukan aktiviti-aktiviti sukan, sosial, kebudayaan dan rekreasi di kalangan ahli; 7.3 Mengadakan aktiviti bersama dengan Kelab-kelab atau Pertubuhan lain bagi meluaskan hubungan persahabatan ahli; 7.4 Menjadi ahli gabungan dengan pertubuhan lain yang mempunyai tujuan atau sebahagian tujuan yang sama; 7.5 Menganjurkan rancangan dan aktiviti bagi memungut derma bagi menjalankan pelbagai tujuan Kelab ini dengan syarat pungutan derma dari orang awam memerlukan kebenaran Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Fasal 8 KEAHLIAN 8.1 Keahlian Biasa Kelab ini adalah terbuka kepada semua Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. 8.2 Ahli Kehormat : Keahlian kehormat terdiri dari seseorang yang dicadangkan oleh Jawatankuasa dan diterima dalam mesyuarat agung kerana jasa baik dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada Kelab ini 8.3 Ahi Seumur Hidup: Ahli Biasa akan diterima menjad Ahli Seumur Hidup dengan membuat bayaran seperti peraturan 9.0 8.4 Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua (2) orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya. 8.5 Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh menjadi ahli kelab ini kecuali ia telah mendapat kebenaran bertulis dari Naib Canselor Universiti atau Kolej-Universiti berkenaan. Fasal 9 YURAN AHLI 9.1 Yuran Pendaftaran bagi kesemua Ahli kecuali Ahli Kehormat ialah RM20.00 9.2 Yuran Tahunan:- 9.2.1 Yuran Ahli Biasa ialah RM24.00 setahun. 9.2.2 Ahli Seumur Hidup dikehendaki membayar RM160.00 sekali bayar 9.2.3 Yuran Berkala iaitu RM80.00 untuk setiap empat (4) tahun 9.3 Yuran Tahunan adalah dikira secara tahunan, dan tidak dikira secara pusingan bulanan. Fasal 10 BAYARAN YURAN 10.1 Semua yuran tahunan yang dikenakan sebagaimana yang disebut di peraturan 9 hendaklah dibayar secara tunai semasa permohonan menjadi ahli dibuat. Fasal 11 PENAMATAN AHLI 11.1 Seseorang ahli Kelab ini akan tamat keahliannya dengan sebab-sebab berikut:- 11.1.1 Memohon secara bertulis supaya keahliannya diberhentikan. 11.1.2 Tidak menjelaskan yuran walaupun setalah diberikan peringatan dan amaran. 11.1.3 Digugurkan keahliannya oleh Jawatankuasa di sebabkan kelakuan atau perbuatan ahli yang boleh memecahkan perpaduan dan mencemarkan nama baik Kelab ini ataupun sesuatu sebab lain yang ditentukan oleh Jawatankuasa. 11.1.4 Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantungkan ahli tersebut, ahli tersebut hendaklah diberitahu akan sebab pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberikan peluang untuk memberi penjelasan atau membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dillaksanakan melainkan Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut. Fasal 12 MESYUARAT AGUNG 12.1 Pengelolaan Kelab ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat. 12.2 Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup setelah setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang telah ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Kelab ini dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli. 12.3 Mesyuarat Agung Tahunan bagi Kelab ini hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah; 12.3.1 menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan kelab di dalam tahun lalu; 12.3.2 menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu; 12.3.3 memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang 12.3.4 menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu 12.4 Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat serta penyata kira-kira Kelab ini bagi tahun lalu, yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan berdaftar Kelab ini. 12.4 Mesyuarat Agung Khas bagi Kelab ini boleh diadakan ; 12.4.1 bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau 12.4.2 atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kelab. 12.5 Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempuh tiga puluh ( 30 ) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu. 12.6 Pengumuman dan Agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat. 12.7 Fasal 12 (1) dan 12 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan. 12.8 Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu. Fasal 13 JAWATANKUASA 13.1 Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Kelab hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agong Tahunan :- 13.1.1 Seorang Yang DiPertua 13.1.2 Dua orang Naib Yang DiPertua 13.1.3 Seorang Setiausaha 13.1.4 Seorang Bendahari 13.1.5 Seramai tidak kurang empat ( 4 ) orang ahli Jawatankuasa Biasa tetapi tidak melebihi sepuluh ( 10 ) orang kesemuanya. 13.2 Pemegang-pemegang jawatan Kelab ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas-tugas eksekutif dalam Kelab ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia. 13.3 Nama-nama pemegang jawatan hendaklah mereka yang dicadang dan disokong oleh ahli-ahli dengan majoriti undi di Mesyuarat Agong Tahunan. Mereka ini boleh dipilih semula tiap-tiap tahun. 13.4 Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Kelab dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Kelab mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung denganya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan. 13.5 Jawatankuasa hendaklah mengadakan mesyuaratnya sekurang- kurangnya tiga (3) bulan sekali. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli tujuh (7) hari terlebih dahulu. Yang DiPertua secara bersendirian atau bersama-sama tidak kurang daripada 4 ahli lain, boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya satu perdua () daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat. 13.6 Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, Setiausaha boleh mendapatkan kelulusan itu secara surat pekeliling dengan syarat -syarat berikut :- 13.6.1 Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat perkeliling yang di edarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa 13.6.2 Sekurang-kurangnya satu perdua () daripada bilangan ahli-ahli jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuannya atau bantahan mereka terhadap cadangan itu ; dan 13.6.3 Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak 13.7 Setiap keputusan yang diperolehi hasil daripada pengedaran surat perkeliling itu hendaklah dilapurkan oleh Setiausaha ke Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat. 13.8 Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa. 13.9 Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. 13.10 Jawatankuasa boleh memberikan arahan-arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai yang lain untuk menjalankan urusan perjalanan Kelab ini, dan boleh melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak.. Jawatankuasa boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kaitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, tidak beramanah kurang cekap dan engkar dalam menjalankan keputusan-keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Kelab ini. 13.11 Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa. Fasal 14 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI 14.1 Yang DiPertua, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah mendatangani semua cek Kelab bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari. 14.2 Naib Yang DiPertua 1 dikehendaki menjalankan segala tugas-tugas Yang DiPertua semasa ketiadaan beliau. Naib Yang DiPertua 2 dikehendaki menjalankan segala tugas-tugas Yang DiPertua semasa ketiadaan beliau dan Naib Yang DiPertua 1. 14.3 Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Kelab ini mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiusaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan menyimpan rekod perjalanan mesyuarat-mesyuarat itu. Ia hendaklah menandatangani semua cek Kelab bersama-sama dengan Yang DiPertua dan Bendahari. Setiausaha hendaklah didalam tempoh 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Kelab kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1966. 14.4 Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Kelab ini. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangai semua cek Kelab bersama-sama dengan Yang DiPertua dan Setiausaha. 14.5 Ahli Jawatankusa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya. Fasal 15 KEWANGAN 15.1 Tertaluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Kelabini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Kelab, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah pemeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. 15.2 Bendahari dibenarkan menyimpan duit runcit tidak lebih daripada RM200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan kedalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira Bank hendaklah di atas nama Kelab. 15.3 Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Kelab hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang DiPertua, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Yang DiPertua, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Kelab. 15.4 Perbelanjaan yang melebih RM2500.00 (Ringgit Malaysia Dua Ribu Lima Ratus) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM5000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM2500.00 (Ringgit Malaysia Dua Ribu Lima Ratus) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Yang DiPertua bersama Setiausaha dan Bendahari. 15.5 Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 16 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutnya dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Berdaftar Kelab. 15.6 Tahun kewangan Kelab ini bermula dari 1hb.Januari dan berakhir pada 31hb.Disember tiap-tiap tahun. Fasal 16 PEMERIKSA KIRA-KIRA 16.1 Dua orang yang bukannya Pegawai Kelab boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula. 16.2 Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Kelab bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang DiPertua mengaudit kira-kira Kelab bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa. Fasal 17 PENGAMANAH 17.1 Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih dari 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Kelab. Semua harta tetap kepunyaan Kelab akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust). 17.2 Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Kelab dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Kelab. 17.3 Seseorang Pengamanah boleh dilucutkan dari jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung. Fasal 18 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG 18.1 Di antara berlansungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan penafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini. 18.2 Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung. Fasal 19 LARANGAN 19.1 Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Kelab : Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan setengah, semua permainan dadu, banker's game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib; 19.2 Kelab atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga menganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959; 19.3 Kelab ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Kelab atau pegawai-pegawai, atau jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan; 19.4 "Faedah" seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Kelab kepada mana-mana ahlinya. Fasal 20 PINDAAN UNDANG-UNDANG 20.1 Undang-undang in tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Fasal 21 PEMBUBARAN 21.1 Kelab ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam satu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya. 21.2 Sekiranya Kelab hendak dibubarkan secara yang disebutkan diatas, maka segala hutang dan tanggungan Kelab yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan. 21.3 Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikankepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu. 2001 ads Aie@Club
Make your own free website on Tripod.com